Dalam mamai, saya dengar ustaz maklumkan yang bas sudah sampai ke Madinah Munawarrah. Saya lihat luar jendela bas sudah cerah. Jam di telepon bimbit menunjukkan sudah jam 7.30 pagi. Kami semua sudah memulakan ibadah puasa hari pertama. Jangan pula ada yang termakan dan terminum ustaz ingatkan kami. Ya allah serasa tidak percaya diri ini. Kedua kaki ini telah jejak kota suci tempat bersemadi jasad Rasulullah tercinta
Di Madinah, kami menginap di Concorde Madinah yang terletak 80 meter dari Masjid Nabawi. Hotel yang selesa dan cukup kemudahan yang diperlukan seperti mesin basuh baju. Dari Hotel ini, kami melalui gate 15 untuk ke Masjid Nabawi
Beg beg pakaian kami dihantar terus ke muka pintu bilik kami. Setelah itu kami berehat sebelum bersiap siap untuk Zohor di Masjid Nabawi. Sesungguhnya saya memang tidak sabar mahu ke Masjid solat berjemaah. Mulut terus berdoa dan berselawat
Antara doa yang saya baca ialah
Buku panduan Umrah sentiasa ada ditangan buat rujukan. Masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan sambil membaca doa
Artinya: “Dengan nama Allah dan atas agama rasulullah. Ya Allah, masukkanlah aku dengan cara masuk yang benar, dan keluarkanlah pula aku dengan cara keluar yang benar, dan berikanlah padaku jalan keluar yang benar, dan berikanlah padaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolong. Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami Muhammad dan keluarganya. Ampunilah dosaku, bukalah pintu rahmat-Mu bagiku dan masukkanlah aku ke dalamnya, wahai Tuhan Yang maha Pengasih dari segala yang pengasih.”
Saya duduk didalam masjid dari Zohor hingga ke Asar. Balik semula ke bilik dna kembali semula sebelum Solat Maghrib. Saya berbuka puasa di Masjid Nabawi meriah. pelbagai hidangan ada seperti roti, laban, buah buahan dan buah tamar. Memang meriah. Mereka menyediakan tempat tempat dan kita boleh pilih di bahagian mana mahu berbuka puasa. Hidangan yang mereka sediakan pada saya cukup nutrisi dan mengenyangkan
Saya Solat Maghrib, Isyak dan melaksanakan solat terawih. Umrah bulan puasa memang banyak masa kita di Masjid. Tadarus Quran dan buat solat sunat
Saya maklumkan Ustaz Umar dan ustaz Shafiq mahu Ziarah Maqam Rasulullah SAW. Dan saya diizin Allah SWT ziarah Makam Rasulullah SAW pada malam kedua dengan bantuan seorang Mutawiffah bernama Mariana. Beliau berbangsa Indonesia dan sudah 30 tahun menetap di Madinah
Dengan bimbingan Mutawiffah Mariana, Alhamdulillah ziarah Maqam Rasulullah lancar. Diajar saya doa doa khusus sewaktu mahu jejak kaki ke Raudhah. Saya solat tahiyatul Masjid dua rakaat di mana mana ruang berkarpet merah. Rakaat pertama baca selepas Alfatihah saya baca Al Kafirun dan pada rakaat kedua selepas Alfatihah, bacalah al Ikhlas
Perjalanan saya masuk ke Raudhah pada malam pertama dan pengalaman pertama ini sangatlah mudah. Allah perkenankan doa saya. Walaupun saya bawa dua rakan sebilik yang sudah berumur senja. Allah SWT yang Maha Baik telah berikan ruang yang selesa untuk dua ummi saya solat dan berdoa sepuas puasnya. Saat saya sujud, air mata mengalir tidak berhenti. kali ini benar benar terjadi. karpet hijau itu telah saya jejaki. Saya berdoa sepenuh hati. Doa doa yang telah saya susun untuk saya perdengarkan kepada Allah SWT dan rasulnya. sepanjang bersujud, saya tidak diganggu. Benar kata Ustaz. Mahu masuk Raudhah jangan Selfish. Mudahkan jemaah lain. Allah mudahkan urusan kita pula. Banyakkan istighfar dan berbaik sangka dengan Allah SWT yang Maha Mengetahui
Saya juga turut menyampaikan salam salam sahabat, saudara mara, keluarga kepada baginda Rasulullah. Tidak lupa memberi salam kepada Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A.
Hanya Allah yang tahu perasaan saya waktu itu. Air Mata mengalir laju. Saya insan Fakir ini telah Allah beri izin menjejak kaki ke Raudhah iaitu sebuah taman dari Taman Syurga dan Allah telah janji Mustajab doa yang diminta disini insyaallah
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda,
ما بين بيتي ومنبري رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ
"Di antara rumahku dan mimbarku ada raudhah min riyadhil Jannah (sebuah taman di antara taman-taman surga." (HR. Bukhari)
Alhamdulillah saya diberi izin Allah SWT masuk ke raudhah sebanyak tiga kali dan malam terakhir adalah malam paling pilu. Dimana saya dapat solat dekat dengan Makam Rasulullah tanpa ada sebarang gangguan. MasyaAllah Allah Maha Baik
Hari Kedua di Madinah Al Munawarrah, kami di bawa ziarah ke Jannatul Baqi'. Walaupun jemaah wanita tidak dapat masuk ke Baqi' namun dapat melihat Baqi' sudah puas rasa hati ini. Jannatul Baqi' terletak di arah Timur Madinah iaitu di pinggir bandar. Ia merupakan kawasan perkuburan. kebanyakkan isteri isteri Rasulullah ( Ummahatul Mukminin ) dan putera puteri Rasulullah SAW disemadikan disini. Begitu juga sebahagian sahabat sahabat Nabi dikebumikan disini. Bacalah doa doa khas buat Jhalifah ketiga Usman Bin Affan R.A dan para isteri isteri baginda
Ziarah Luar Madinah dimulakan dengan Menziarahi Masjid Quba. Masjid Quba yang terletak lebih kurang 4.8km dari Masjid Nabawi merupakan Masjid yang dibina oleh tangan Rasulullah SAW dan sahabat sahabat baginda atas dasar Taqwa. Pernah dinyatakan oleh Rasulullah sendiri " Barang siapa yang menziarahi masjid ini dengan berwuduk dari tempat tinggalnya kemudian berkunjung di Masjid Quba, lalu ia mengerjakan solat. ia mendapat pahala sama seperti dia mengerjakan Umrah"
Seterusnya kami di bawa ke ladang Kurma. Disana banyak buah buah kurma di jual dengan harga berpatutan dan kurma kurma tersebut segar dari ladang yang luas terbentang. Kurma Nabi yang paling istimewa ialah Kurma Ajwa Aaliyah. Pesan Ustaz, sebaik baik hadiah untuk keluarga dan sahabat handai ialah air Zam Zam dan Buah Kurma. Dan Kurma yang terbaika dalah di Madina Al Munawarrah
Ziarah luar seterusnya ialah menziarahi Jabal Uhud. Tidak henti saya menangis melihat Jabal Uhud. terbayang setiap Syuhada yang gugur sewaktu Perang Uhud. Jabal Uhud yang bermaksud bukit yang menyediri. Bukit ini tidak berganding dengan bukit yang lain. Disebabkan itu penduduk Madinah memanggilnya Jabal Uhud. Di sini terlalu banyak sejarahnya. Di lembah Jabal Uhud telah menjadi saksi Syahidnya Pejuang Islam dalam perang Uhud
Sebaik sahaja melihat Jabal Uhud, pesan ustaz sunat menyebut " Aku Menyintaimu Wahai Uhud" sebagaimana yang Rasulullah SAW lakukan.
Perang Uhud telah menyaksikan tentera islam yang di ketuai oleh Rasulullah SAW telah tewas ke tangan tentera kafir Quraisy dan sekutunya. Rasullullah telah cedera parah dalam peperangan ini. Besi perisai yang melindungi wajah Rasullullah telah terkenan balingan batu lalu melekat dimuka Rasullullah. Sahabat yang bernama Abu Ubaidah telah mengigit besi perisai itu untuk mengeluarkan besi tersebut dari wajah Rasullullah hingga patah dua gigi beliau
Dalam perang ini, Saidina Hamzah Bin Abdul Mutalib R.A telah tewas. Selain itu dua pelindung nabi iaitu Saiyidina Abdullah Bin Jahsy R.A dan Saiyidina Mus'ab Bin Umair R.A juga telah mangkat dan disemadikan bersama para Syuhada Uhud. Alfatihah buat Syuhada Uhud
Dari Jabal Uhud kami meneruskan perjalanan balik ke Hotel Penginapan kami melalui Masjid Jumaat dan Masjid Qiblatain. Kami tidak singgah kerana keadaan parking yang sesak dan mahu solat berjemaah di Masjid Nabawi. Masjid Jumaat adalah masjid pertama Rasulullah solat Jumaat dan masjid Qiblatian pula adalah turun wahyu agar Rasullullah menukar arah Qiblat dari Al Aqsa kepada Masjid Al-Haram
Pagi terakhir kami di Madinah Al Munawarrah kami penuhi dengan solat subuh berjemaah. Seterusnya adalah Program Khatam Quran. Syukur Alhamdulillah, Allah yang Maha Baik telah memilih saya berada dalam jemaah ini. Quran sentiasa disisi
Selepas itu kami mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah. Dengan hiba saya katakan Ya Rasulullah dengan izinmu Insyaallah hamba ini akan datang lagi dan berkali kali ke sini insyaallah
Sepanjang di Madinah Munawarrah, rebutlah melakukan amalan amalan yang berikut. Perkara ini dilakukan oleh Team Amazing Umrah Sahabat Quran Malaysia
1. Menziarahi Rasulullah dan memberi salam kepadanya sekerap mungkin
2. Mengerjakan solat berjemaah di Masjid Nabawi
3. Banyak mengerjakan ibadah selepas tengah malam
4. Khatam Al Quran dalam masjid Nabawi
5. Melakukan Iktikaf
6. Menunaikan solat di Raudhah jika ada peluang
7. Tidak bercakap hal dunia di dalam Masjid Nabawi
8. Melakukan ibadah sebanyak mungkin
No comments:
Post a Comment