Wednesday, August 1, 2018

BAB 1 - AKU SAHUT PANGGILANMU

Setiap orang yang pernah pergi ke Makkah dan Madinah mengerjakan Ibadah Umrah pasti akan mengatakan ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup mereka apatah lagi ia Umrah pertama. Lebih lebih lagi maharnya datang dari titik peluh menabung setiap bulan. Ia tentu menyimpan seribu makna yang sukar diungkap dengan kata kata 

Pengalaman mengerjakan ibadah Umrah adalah pengalaman terindah. Berada di dua kota suci menjadikan diri sangat teruja. Pergi ke Madinah dan Makkah ia tidak sama dengan semua percutian yang telah kita pergi selama ini. Ya, tidak sama sekali 

Keadaan tenang yang tidak mampu digambar dengan kata kata. Hanya yang pernah melaluinya sahaja mampu memahaminya. Itulah yang saya rasa dan saya percaya semua yang pernah menjejak kaki kesana malah ada yang berkali kali pula rezekinya

Kenyataan seronok tidak terkata yang datang dari mulut ini dan mulut mulut yang pernah sampai jejak kaki ke Haramain tentu sesuatu yang tidak boleh disangkal. Ketika bercerita setiap detik di Sana. Terlalu sukar untuk kita yang boleh pergi membayangkan keadaan sebenar di Makkah, Madinah, Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Raudhah. Ia pula soal hati seorang Hajjah anak Felda yang kali pertama jejak kaki ke Haramain 

Umrah seumur hidup sekali adalah sayu tuntutan. Kita perlu berusaha bersungguh sungguh. Berdoa tanpa henti kepada Allah SWT memohon dijemput ke sana sebagai tetamu Allah yang paaaling istimewa 

Ini jemputan Allah. Bukan jemputan Raja. Bukan jemputan Perdana Menteri. Ada duit banyak pun belum tentu boleh pergi. Sihat juga belum tentu boleh pergi. Semuanya terjadi kerana atas jemputan Allah SWT 

Saya mula menanam niat mahu menunaikan ibadah Umrah pada tahun 2016 sewaktu bertemu Hajjah Sarni Abdullah di Janda Baik dalam satu program Public Speaking Mastery 

Perkongsian Umrah Puan Hajjah Sarni menarik perhatian saya. Maka bermulalah langkah langkah awal perjalanan seorang anak Felda ke Bumi Haramain 

Setiap kali berdoa saya nyatakan pada Allah. Saya sudah cukup mahar mahu pergi Umrah, maka Ya Allah jemputlah saya sebagai tetamu istimewamu Ya Allah. Permudahkan lain lain urusan agar ia tidak menjadi asbab saya tidak dijemput ke sana

Setiap hari saya akan minta suami doakan saya dijemput ke Tanah Suci mengerjakan Umrah tanpa sebarang masalah 

Setiap kali saya lihat di FB, promosi Pakej Umrah dari Amazing Umrah Sahabat Quran Malaysia. Saya akan Whatsapp sahabat saya Hajjah Sarni Abdullah. Saya akan katakan kepada beliau, doakan Long dapat pergi tahun ini

Saya mula membuat persediaan Umrah sejak tahun 2016. Saya mula masuk setiap kursus Umrah yang ada. Awalnya rasa sangat kekok kerana masuk kursus tapi belum ada tarikh mahu pergi. Namun biasanya ia akan diakhir dengan air mata. Setiap kali tamat kursus Umrah. Saya sedaya upaya bersalaman, berdakapan dengan para jemaah yang hadir. Mereka akan cakap, saya doakan puan pergi Umrah Tahun ini. Itulah yang saya kejarkan. Doa dan berada di majlis ilmu. ada berkat disitu 

Saya belajar semula mengaji secara berguru. Lama sudah saya tinggalkan aktiviti ini. Niat awal saya, agar tidak malu sewaktu  khatam Quran bersama sahabat Quran Malaysia

Saya mula mencukupkan sembahyang lima waktu. Membuat semua solat solat sunat. Saya mula displinkan diri untuk tidak tinggal solat Taubat, Witir dan Dhuha   

Saya mula kerap dan gandakan Zakat dan Sedeqah saya. Tidak saya khususkan berapa seperti dulu. Pada waktu ini, apa yang ada dalam wallet yang paling besar, itulah sedeqah saya pada hari itu 

Setiap kali ada sahabat handai, saudara mara, rakan sepejabat pergi Umrah. Saya mula berusaha santuni mereka berbanding dulu lantak kau lah nak nak pergi bila dan dengan siapa. Kerana disitu ada berkat usaha yang Allah akan hadiahkan ganjaran buat kita 

Kita letakkan kesungguhan mahu menjadi tetamu Allah yang paling istimewa. Allah sedang menilai usaha itu. Jika belum lagi, semak kembali. Mungkin usaha masih belum cukup. Buat lagi. kemaskan solat Wajib dan Sunat. Puasa sunat jangan tinggal. Ada doa mustajab disitu. Sentiasa ingat perkara yang satu ini selalu. Allah sentiasa mendengar kita meminta

Suatu pagi jumaat. Saya tidak tahu mengapa. Hari saya sangat sayu. Rutin biasa saya sepanjang perjalanan pergi kerja. Saya akan buka Youtube bacaan yassin, Al Waqiah, AlKahfi, Al Waqiah. Jumaat itu air mata saya laju tidak macam selalu. Hati saya sayu tidak boleh digambarkan. saya terbayang bayang Kaabah di depan mata. Saya terbayangkan Raudhah dan memberi salam kepada Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar dan Saidina Usman

Lalu jari jemari ini mula mengetik keyboard Handphone. Saya curahkan isi hati saya dengan Caption rindu " Rindu Baitullah". Masih saya ingat tarikhnya ialah 13 April 2018, 7.52 pagi. Sewaktu menukilkan setiap kata kata, air mata saya deras mengalir. Saya niat dalam hati mahu menunaikan ibadah Umrah tahun ini dan berkali kali Insyaallah. Saya minta sahabat mukabuku aamiin kan doa saya 

Sebelum jam 8.00 pagi, saya dapat mesej dari suami. Ya Allah ajaibkan doa di waktu mustajab. Suami mengatakan jika mahu pergi Umrah Ramadan tahun ini dia izinkan. Saat saya baca mesej ini mengigil seluruh badan. Saya tidak mampu membuat apa apa dalam tempoh seminit

Saya masuk pejabat dengan berbagai rasa. Saya tunaikan sujud syukur, solat Isyraq dan Dhuha terlebih dahulu. Selepas itu saya hubungi ibu. Selepas ibu barulah suami tersayang. Ucap terima kasih yang tidak terhingga. Ia hadiah lebih berharga dari emas dan duit. Hampir sepanjang ada waktu terluang saya menangis. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Benar engkau maha baik. Aku insan kerdil, malah kurang ibadatku telah engkau kurniakan Umrah Ramadan. Syukur alhamdulillah Ya Allah. Tiba tiba saya rasa malu pada Allah SWT

Teringat saya kepada surah Ar Rahman yang merupakan surah yang paling saya suka. " Maka Nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan" - Surah Ar- Rahman : 36 

Bermula tarikh keramat 13 April 2018, saya mula membuat persiapan untuk ke Baitullah. Persiapan mental dan fizikal. Buku buku umrah yang dipinjamkan oleh rakan rakan yang pernah pergi sebelum ini saya baca dan fahami. Walaupun setiap tahun saya temani emak berkursus umrah. Namun untuk persediaan diri sendiri, saya sertai juga kursus Umrah buat kesekian kalinya. Debar lain macam pula

Mula mengisi 1/3 malam dengan lebih awal lagi bersembahyang sunat taubat, sunat hajat, sunat tahajuud, baca Quran dan sentiasa berzikir memohon agar Allah SWT sentiasa mempermudahkan urusan disini dan disana nanti 

Antara lain persiapan yang wajib dilakukan ialah menyemak tarikh luput pasport antarabangsa. Masih boleh digunakan lagi sehingga tahun 2020. Perlu menyediakan gambar untuk Visa Umrah. Selain itu, perlu ambil suntikan Umrah. Saya ambil suntikan wajib untuk umrah iaitu Meningococcal hanya RM160 dn yang pilihan iaitu Influenza RM 80 (asal RM110) dan Pneumococcal RM90 (asal RM130). Pengambilan dua vaksin tambahan ini sekadar berusaha agar tidak dijangkiti batuk dan lain - lain penyakit bawaan. selebihnya Allah SWT yang punya kuasa 

Setelah semua dokumen siap sedia, saya minta suami serahkan kepada Travel Agensi Amazing Umrah Sahabat Quran Malaysia untuk proses selanjutnya. Alhamdulillah 

Saya sediakan senarai semak persiapan kelengkapan Umrah agar tidak ada yang terlepas pandang. Disanan nanti tidak perlu saya memikir barang barang yang tertinggal. Di sana nanti tumpuannya untuk beribadah. Saya tiada niat lain selain untuk banyak beriktikaf didalam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram

Ramai sahabat yang berpesan agar bawa beberapa helai saja telekung, jangan bawa banyak banyak. Di sana kita tidak berpeluh kata mereka. Saya pula bawa semua telekung yang dihadiahkan oleh teman teman dan saudara mara. Tidak sampai hati mahu tinggalkan di Malaysia. setiap pemberian pasti ada hajat yang mengiringinya 

Menjadi Tetamu Agong Kepada Allah swt. "Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agong kepada Allah swt, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah swt perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah swt ampunkan mereka". (Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah)








No comments:

Post a Comment